Taraf bandar raya Senarai_bandar_raya_di_Malaysia

Seperti kebanyakan negara-negara di dunia, bandar raya di Malaysia ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertindak sebagai peringkat ketiga dalam sistem pentadbiran di negara ini.[5] Selalunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertaraf Bandaraya di negara ini menggunakan dua format iaitu Dewan Bandaraya sebagaimana PBT di Kuala Lumpur atau Majlis Bandaraya seperti PBT di Ipoh, Johor Bahru dan Petaling Jaya. Kadangkala PBT-PBT ini mentadbir kawasan yang luas sehingga melangkaui sempadan bersejarah bandar tersebut.[6] Oleh yang demikian, status bandar raya di Malaysia bergantung secara langsung dengan taraf PBT yang mentadbir di kawasan tersebut dan persempadanan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Menurut perlembagaan, hak dan kuasa ke atas PBT diletakkan di dalam senarai negeri. Namun begitu, ketika negara ini menghadapi ancaman komunis sekitar 1970-an, kerajaan persekutuan telah memperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang telah merombak semula sistem PBT di negara ini dan meletakkan sebahagian kuasa yang sebelum ini berada sepenuhnya di peringkat negeri ke penyeliaan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sejak dari itu, penarafan sesebuah bandar raya hanya sah dibuat melalui penganugerahan watikah yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan dilengkapi dengan cop mohor kerajaan persekutuan.

Kriteria Naiktaraf Bandaraya Yang Lama

Di antara kriteria-kriteria yang diambil kira bagi memberi taraf bandar raya kepada sesebuah bandar ialah:

  1. Sebagai sebuah pusat pentadbiran negeri;*
  2. Penduduk tidak kurang daripada 300,000 orang;
  3. Berautonomi dari segi kewangan dengan hasil pendapatan tidak kurang daripada RM 80 juta;
  4. Mengalami perkembangan dan pembangunan ekonomi yang pesat;
  5. Pusat perniagaan dan perindustrian serta mempunyai institusi kewangan yang kukuh;
  6. Merupakan pusat pengajian tinggi lengkap dengan maktab (atau Institut Pendidikan Guru), universiti dan perpustakaan;
  7. Mempunyai ciri-ciri istimewa dari segi sejarah yang panjang dan pusat aktiviti kebudayaan serta sukan yang penting;[7]
*Miri, Petaling Jaya, Iskandar Puteri dan Seberang Perai diberikan taraf bandar raya tanpa mengambil kira kriteria pertama.

Kriteria Naiktaraf Bandaraya Yang Baru

Kriteria baru pada 2008 telah diperkenalkan bagi memperbaharui semula pihak berkuasa tempatan di Malaysia

  1. PBT itu harus meliputi kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri.
  2. Mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang.
  3. Mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang mapan dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM100 juta serta mampu mengimbangkan perbelanjaan.
  4. Berupaya menyediakan perkhidmatan pada tahap yang tinggi termasuklah aktiviti kutipan hasil, kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan lain-lain fungsi PBT serta mempunyai struktur organisasi yang mantap serta kakitangan yang berkebolehan menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.
  5. Pembangunan bandar yang menekankan kepada pembangunan mapan serta memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani isu-isu perbandaran
  6. Pembentukan imej bandar ataupun identiti yang bersesuaian dengan fungsi bandar dan budaya nasional yang melambangkan sejarah dan warisan. Kawasan-kawasan dan bangunan-bangunan yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan senibina yang unik serta perlu dipelihara.
  7. Mempunyai pusat perindustrian, institusi kewangan dan kemudahan menjalankan perniagaan dan perdagangan.
  8. Mempunyai pusat institusi pendidikan yang lengkap dengan universiti, kolej, maktab, muzium dan perpustakaan awam.
  9. Pusat kepada aktiviti kebudayaan, acara-acara sukan dan riadah serta konvensyen di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  10. Mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, utiliti awam yang mencukupi termasuklah taman-taman awam yang mesra pengguna terutamanya kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Ini termasuklah kemudahan-kemudahan pengangkutan awam, sistem pengurusan lalu lintas dan rangkaian jalan raya yang cekap serta perkhidmatan ICT.
  11. Mendapat pengiktirafan tertentu sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa dalam bidang-bidang tertentu sejajar dengan taraf sebagai sebuah bandar raya. [8]


Pada 3 Jun 2008, kriteria baru telah dicadangkan berikutan bantahan dari sesetengah pihak terhadap penarafan beberapa bandar kecil yang kurang membangun sebagai sebuah bandar raya. Kriteria baru tersebut ialah jumlah penduduk akan dinaikkan kepada 500,000 orang manakala hasil pendapatan setahun dinaikkan kepada RM 100 juta.[9]

Dengan pengumuman kriteria baru ini, hasrat beberapa kerajaan negeri untuk menaik taraf ibu negeri mereka sebagai bandar raya terpaksa ditangguhkan.[10] Ibu negeri yang dikira layak dinaik taraf sebagai bandar raya mengikut kriteria lama sebelum pindaan ialah Seremban yang menyaksikan tarikh 9 September 2009 yang dipilih sebagai tarikh kenaikkan taraf telah terbatal. Namun begitu pada 2012, Menteri Besar Negeri Sembilan mengumumkan bahawa cadangan untuk Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai yang keduanya terletak dalam daerah Seremban digabungkan bagi membentuk satu pihak berkuasa tempatan baru berstatus Majlis Bandaraya telah secara prinsipnya mendapat kelulusan dari Kerajaan Persekutuan dan menepati semua kriteria yang ditetapkan. Seremban kini dalam fasa akhir peningkatan infrastruktur sebelum diistihar secara rasmi menjadi sebuah Bandar Raya.[11]

Dewan Bandaraya

Format dewan bandaraya mempunyai piagam pelanggan yang agak ketat berbanding majlis bandaraya dan selalunya dewan bandaraya mempunyai jumlah kakitangan yang ramai, berkemahiran dan komited dalam menangani semua aduan demi mencapai objektif piagam pelanggan yang ditetapkan. Selain itu PBT dewan bandaraya mesti mempunyai sumber kewangan yang kukuh, berautonomi dari segi ekonomi (tidak memerlukan bantuan kewangan dari kerajaan negeri secara tetap) dan mampu mengutip hasil cukai yang tinggi yang mana hasil cukai itu digunakan demi untuk memenuhi kesemua aduan dalam tempoh yang ditetapkan dan mampu menyediakan perkidmatan perbandaran pada tahap yang terbaik selain berkemampuan untuk membayar gaji kesemua kakitangannya termasuklah memberi elaun, tuntutan, emolumen seperti insentif, imbuhan, kebajikan pekerja dan sebagainya.

Kebiasannya penggunaan format dewan bandaraya bergantung kepada ketentuan kerajaan persekutuan dan kemampuan kerajaan negeri serta PBT itu sendiri, tetapi format itu layak digunakan hanya setelah mendapat watikah penaiktarafan dari bandar kepada bandar raya. Banyak faktor yang harus dikaji dari segi kesesuaian penggunaannya serta praktikaliti pelaksanaannya terhadap kawasan PBT tersebut, kemampuan penyediaan sejumlah kakitangan yang berkebolehan, kemajuan, kepesatan, pelancongan, sumber kewangan dan lain-lain. Format dewan bandaraya juga biasanya hanya sesuai digunakan oleh bandar-bandar yang mampu menarik jumlah pelancong yang tinggi setiap tahun (seperti Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Kuching Utara) hingga mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi terhadap penduduk setempat serta memajukan lagi industri perhotelan dan pelancongan atau memiliki jumlah penduduk melibihi 1 juta ke atas beserta harta berkadar bagi kawasan pentadbirannya dengan unit pegangan yang sangat tinggi dan lain-lain kriteria.

Dewan bandaraya juga tidak mempunyai ahli majlis seperti kebanyakan PBT berstatus majlis bandaraya, majlis perbandaran atau majlis daerah yang membantu dalam menentukan dasar dan mewakili penduduk setempat, tetapi diganti dengan tidak kurang dari lima atau lebih ahli Lembaga Penasihat Bandaraya yang memegang portfolio berbeza sesuai dengan kelayakan atau pengalaman serta profesionaliti yang dimilki disamping berkerjasama secara erat dengan persatuan-persatuan penduduk di Bandaraya tersebut. Lembaga Penasihat Bandaraya berperanan untuk membantu Datuk Bandar selaku penasihat dalam apa juga persoalan yang berkaitan dengan pentadbiran dan hal ehwal pengurusan bandaraya yang telah ditetapkan kepada PBT itu mengikut peruntukan akta yang digubal baik diperingkat persekutuan, enakmen diperingkat negeri mahupun undang-undang kecil diperingkat PBT itu sendiri.[perlu rujukan]

*Takrifan PBT

Takrifan PBT di Malaysia dibuat berdasarkan tiga undang-undang PBT seperti berikut :-

i) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) - PBT di Semenanjung Malaysia sahaja

Seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) mentakrifkan PBT sebagai Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah manakala bagi Wilayah Persekutuan, PBT ditakrifkan sebagai ‘Datuk Bandar Kuala Lumpur’ seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 3 Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

(Dewan Bandaraya tidak dinyatakan dalam akta, gunapakai 'dewan bandaraya' di semenanjung adalah tidak sah (melainkan jika akta 171 sedia ada dipinda) kecuali DBKL sahaja yang menggunapakaikan Akta Ibukota Persekutuan 1960.)

Manakala bagi PBT di Sarawak dan Sabah, Ordinan seperti dibawah adalah digunapakai:

ii) Local Authorities Ordinance 1996 (Chapter 20) - PBT di Sarawak

"Local Authority" means -

(a) a City Administration named in Part I of the First Schedule;

(b) a Municipal Council named in Part II of the First Schedule;

(c) a District Council named in Part III of the First Schedule;

Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turut dimasukkan dalam (b) di atas.

iii) Local Government Ordinance 1961 (Sabah No. 11 of 1996) - PBT di Sabah

"Authority" means any District Council, Town Board or Municipal Council established under the provisions of Section 3.[12]

Rujukan

WikiPedia: Senarai_bandar_raya_di_Malaysia //scholar.google.com/scholar?q=%22Senarai+bandar+r... //www.google.com/search?&q=%22Senarai+bandar+raya+... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Senar... //www.google.com/search?q=%22Senarai+bandar+raya+d... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Senarai+ban... http://archive.is/20121209085753/http://www.world-... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&d... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt... http://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/268